Bangsa Malaysia oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil: Bukan Ilusi?

Cover Pembinaan Bangsa_New

Judul Buku: Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan

Penulis: Dato’ Dr. Siddiq Fadzil

Penerbit: IDE Research Centre, 2016

Bil. Muka Surat: 111 muka surat

ISBN: 139789671406960

Pengulas: Aliff Basri

“Tidak perlu memaksa siapa-siapa menukar jati dirinya. Orang Cina boleh meneruskan gaya hidup dan budaya ke-Cina-annya, orang India boleh meneruskan gaya hidup dan budaya ke-India-annya, dan begitu juga Melayu. Namun kita semua disatukan oleh bingkai kesatuan, yang berubah shared values and commitments, – nilai-nilai komitmen yang dikongsi bersama-sama.”

Petikan yang dimuatkan dalam makalah Dato’ Dr. Siddiq Fadzil ini, boleh dianggap sebagai kesimpulan mesej atau idealisme yang beliau sampaikan dengan menjadikan Sahifah Madinah sebagai dokumen asas yang menyokong cita-cita murni bagi melahirkan sebuah Bangsa Malaysia.

Dalam konteks Malaysia, sektor pendidikan adalah wadah penting dalam proses pembinaan bangsa (nation-building) (hal. 77). Aspek kepentingan Bahasa Melayu sebagai ejen pemersatu masyarakat (hal. 78), kepentingan membugar budaya dialog dan berinteraksi yang bertitik-tolak dari sikap mengiktiraf pihak lain dengan memberi peluang untuk menyatakan sikap bersetuju atau berbeza (hal. 81), dan kepentingan menyesuaikan teks-teks klasik dalam ranah siyasah Syar’iyyah dalam konteks Malaysia dan hari ini (hal. 87), merupakan tema-tema yang dikembangkan oleh Dato’ Dr dalam kompilasi makalah ini.

Dato’ Dr turut mengetengahkan beberapa konsep penting yang menjadi perbahasan para ulama’ apabila memperkatakan mengenai negara bangsa pada hari ini; di antaranya ialah konsep kafir zimmi dan harbi yang menurut al-Qaradawi dan juga Fahmiy Huwaidiy sebagai tidak releven pada masa kini, begitu juga pandangan Muhammad Abdul Rauf (hal. 11, 45). Sebagai alternatif, istilah ‘muwatinun’ atau ‘warganegara’ digunakan (hal. 37). Selain itu, begitu juga istilah Dar al-Harbi, merujuk kepada negara bukan Islam sebagai contoh Amerika Syarikat. Dato’ Dr menjelaskan keperluan pada hari ini untuk menggantikannya kepada Dar ad-Dakwah sebagaimana yang disarankan oleh para mufassirin seperti al-Qashshab al-Kharkhi, seorang ulama’ abad ke-4 Hijrah (hal. 101).

Satu perkara yang tidak kurang juga pentingnya yang menjadi penilaian Dato’ Dr ialah konsep Pluraliti dan Pluralisme. Beliau memberikan sudut pandang bagi menjelaskan konsep pluralisme sebagaimana yang dipegang dan difahami oleh beberapa ilmuan semasa seperti Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar yang biasanya menjadi kontroversi dalam perbahasan ‘pluralisme’ dan ‘pluralisme agama’ di Malaysia. Bagi Dato’ Dr, beliau ‘lebih selesa’ dengan penggunaan istilah kemajmukan atau pluraliti dalam pengertian ‘al-Ta’adudiyyah sebagaimana yang biasa digunakan oleh ilmuan semasa seperti al-Qaradawi (hal. 62).

Sebagai pembaca, saya melihat usaha Dato’ Dr bagi ‘mengisi’ makna dalam proses pembentukan ‘bangsa Malaysia’ ini sebagai suatu yang melangkaui zamannya. Di saat sebahagian umat Melayu Islam sedang berhadapan dengan kekeliruan identiti sebagai seorang melayu-Islam-Malaysia (Tanah Melayu), juga dilemma akibat pecah amanah serta ketidak adilan dalam pelaksanaan polisi-polisi atau dasar berkaitan tindakan afirmatif oleh para pembuat dan pelaksana dasar orang Melayu sendiri; menjadikan konsep pembinaan ‘bangsa Malaysia’ dianggap sebagai sebuah ilusi dan berupa mainan kata semata-mata.

Pada masa yang sama, wujud juga sebahagian bangsa lain yang sentiasa menyudutkan umat melayu Islam sebagai sebuah bangsa yang ‘berat sebelah’ disebabkan tindakan afirmatif yang dilihat sentiasa mahu berpihak kepada umat Melayu. Golongan begitu juga gagal melihat aspek sejarah pembentukan Malaysia yang terkandung dalamnya apa yang dipanggil kontrak sosial (social bargain); sebagai syarat pengikat untuk pembentukan negara Malaysia bagi menjaga keharmonian hidup bersama. Persepsi mereka, ada betul dan boleh juga salah. Ia bergantung kepada bagaimana mereka memahami dan menyikapi sesebuah dasar yang telah dipersetujui sebelum ini dan membezakan ia dengan cara pelaksanaannya selepas itu. Namun, dalam kompilasi makalah ini, Dato’ Dr tidak menghuraikan dengan mendalam aspek-aspek penting tersebut untuk menyeimbangkan antara idealisme dan konteks pensejarahan pembentukan Malaysia.

Walaupun begitu, secara keseluruhannya, wacana penting yang diketengahkan oleh Dato’ Dr Siddiq ini merupakan visi yang tidak dapat tidak, perlu dicermati dan difikirkan oleh masyarakat Malaysia seluruhnya. Bukan setakat itu, malah setiap bangsa dan etnik perlu membuktikan bahawa mereka mahu mencapai matlamat pembinaan Bangsa Malaysia melalui kefahaman sejarah pembentukan negara Malaysia, saling hormati menghormati, membina wibawa masing-masing, dan bersatu teguh mempertahankan kedaulatan Malaysia daripada dicerobohi jiwa dan raganya oleh anasir musuh luar mahupun dalam.

Karya ini boleh menjadi antara bacaan asas untuk mengembangkan lagi wacana mengisi kemerdekaan bagi merealisasikan agenda Bangsa Malaysia. Bersempena Bulan Kemerdekaan ini, cari dan bacalah karya ini.

Wallahu alam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s