Ulasan Cerpen: Rumah Hijau oleh Rebecca Ilham

“Walau bagaimanapun, saya tidak boleh menjadi pihak berkecuali kerana saya telah dididik bahawa dalam apa juga situasi sekalipun, saya wajib berpihak. Berpihak kepada Kebenaran.”

Saya fikir, ini asas dan tema utama bagi cerpen Rebecca Ilham yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia, halaman 34, bertarikh 7 Januari 2018 yang lalu. Rebecca memang terkenal dengan cara gaya persembahan cerpen yang memukau pembaca berbentuk debat-wacana.

Membaca cerpen ini mengingatkan saya kepada bentuk-bentuk karya seperti mana yang disebut SM Zakir, sebagai karya-karya Era Transisi. Menurut SM Zakir, ‘karya-karya era transisi ini ditandai oleh kehadiran apa yang disebut sebagai Objektiviti Baharu’. Tambahnya lagi, ‘ia merujuk kepada seni dunia baharu yang memaparkan latar kota metropolis, kehidupan kota, lingkaran hidup yang tersepit dalam kemajuan material dan imej-imej yang tercipta daripada simulasi imaginatif.’ (Mingguan Malaysia, 10 Disember 2017)

Lantas Rumah Hijau, adalah sebuah cerpen yang menyemangati Objektiviti Baharu seperti yang disebutkan.

Cerpen ini dibarisi watak Saya, Pembantu yang Setia, Penghuni Unit Kanan (orang muda) dan Penghuni Unit Kiri (orang yang agak berumur). Aspek timbang rasa, narsisistik, dan pertanian bandar dijadikan rupa mesej dan latar untuk disampaikan dengan pertikaian sesama mereka untuk menggunakan sebidang ruang rata di atas bumbung pejabat sebagai konfliknya.

Plot mula memasuki ruang konflik apabila ketenteraman Penghuni Unit Kiri yang agak berumur dan Saya serta Pembantu Setianya tergugat disebabkan Penghuni Unit Kanan yang merupakan seorang anak muda bercita-cita tinggi; membuat keputusan wewenang untuk membina Rumah Hijau bagi tujuan pertanian bandar mengguna teknologi tinggi di ruang rata tersebut.

“Itu hak saya, tegas pembangun aplikasi. Hak mendapat sumber asas milik semua, tingkah saya dengan nada serendah mungkin.”

Penghuni Unit Kanan berperwatakan seorang yang keras kepala dan tidak menghormati jiran tetangga. Tidak keterlaluan juga jika saya merasakan bahawa anak muda itu merupakan seorang narsisistik – cenderung memuja atau mengagumi diri sendiri dengan berlebihan (Kamus Dewan Edisi ke-4).

Dapat dilihat melalui nukilan berikut oleh pengarang:

“Rangkaian teman-teman dan pengikutnya di ruang maya ramai, dan mereka gemar sekali akan foto-fotonya meladeni sayur-sayuran hawa sederhana yang sedang tular.”

Demi mencapai hasrat peribadinya untuk kekal sohor kini di alam maya, dia meneruskan hasratnya dengan memulakan pembinaan Rumah Hijau walaupun perbincangan dengan Penghuni Unit Kiri dan Saya belum mencapai kata sepakat.

Sebagaimana dinyatakan di atas, aspek bertimbang rasa adalah mesej penting. Teknologi pertanian bandar bertaraf ‘superfood’ bukanlah suatu yang harus dinafikan akan keperluannya. Usaha pengarang mempersembah aspek teknologi pertanian bandar dalam sebuah cerpen seperti ini adalah satu rakaman penting mengenai gaya hidup kota yang tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi. Lalu penanaman bandar menjadi antara solusi penjimatan.

Selain itu, ia adalah manifestasi kehidupan warga kota yang berkeinginan untuk  hidup dalam suasana kehijauan, walaupun hanya mempunyai tanah ‘sekangkang kera’ di tengah-tengah kota.

Namun, pengarang memperingatkan bahawa aspek musyawarah dan memahami konsep hidup berjiran adalah antara realiti yang perlu difahami warga kota.

Kesimpulannya, keunikan cerpen ini terletak kepada kefahaman bahawa memang diakui elemen ‘rumah hijau’ sebagai solusi kepada situasi dan gaya hidup di bandar, tetapi ia tetap harus mengambil kira elemen ‘keinsanan’ dan memahami konteks hidup bermasyarakat. Seperkara lagi, kaedah penanaman konvensional yang menggunakan tanah, peluang menikmati cahaya matahari yang terbit setiap pagi, adalah suatu nikmat yang tidak dapat dijual beli. Itulah yang mahu dipelihara oleh Penghuni Unit Kiri dan Saya.

Selamat membaca.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s