Ulasan Novel: Profesor (Manusia Tuhan)

36565271

Judul Buku: Profesor (Manusia Tuhan)

Penulis: Faisal Tehrani

Penerbit: FIXI, 2017

Bil. Muka Surat: 371 muka surat

ISBN: 139789672128236

Pengulas: Aliff Basri

Regina Ibrahim kata, Profesor adalah sebuah karya: “Naratif yang ‘nakal-nakal sopan Melayu’ diselitkan dalam adegan adegan yang menuntut pembaca membayangkan suasana sebenar.”

Ya. seakan-akan benar menjiwai watak sebagai Prof. Suliza. Geli-geliman pasti menemani pembaca. Mujur sahaja, sentiasa diingatkan oleh penerbit bahawa ia merupakan karya ‘untuk pembaca matang’ di muka hadapan novel dan ‘cerita di dalam buku ini adalah rekaan semata-mata kot’ oleh Fixi di muka surat sebelum Prolog.

Muka hadapan dan belakangnya sangat unik. Bersifat minimalis dan segar.

Seolah-olah sudah menjadi satu ‘trademark’, apabila terbit sahaja karya baharu oleh Dr. Faisal Tehrani (selepas ini saya selesa memanggil sebagai Faisal Tehrani), maka ia dikatakan berpotensi besar untuk diharamkan.

Selain daripada teruja untuk membaca karya terbaharu Faisal Tehrani, tidak dapat dinafikan bahawa sentimen ‘akan diharamkan’ juga menjadi faktor pemberat untuk saya lekas memilikinya dari kedai FIXI di Sunway Mall, berhadapan PWTC.

Faisal memang terkenal dengan karya-karya kontroversinya. Namun, tema-tema yang diangkat melalui karya-karyanya mempersembahkan sesuatu yang penting untuk diwacanakan. Sisi marginal – terpinggir. Ia berupa sesuatu yang boleh jadi; sebelum ini tersembunyi dalam lipatan sejarah, lembaran penting dan rasmi yang terpisah-pisah, wacana penting untuk dilihat dari pelbagai perspektif;  diadun menjadi sebuah karya yang boleh membangkitkan ghairah dan usaha untuk pembaca memahami sesuatu mauduk wacana.

Seperti – karya itu yang digandingkan dengan karya Budiman oleh Regina Ibrahim – tidak dijual di ‘outlet’ buku lain melainkan hanya di Kedai Buku FIXI.

Profesor; sebuah karya rebel, sebagaimana karya ‘Bagaimana Anyss Naik ke Langit?’. Salah satu keunikan menonjol karya Faisal Tehrani ialah keserasian atau keintiman yang terjalin antara fakta dan fiksi. Ia dipersembahkan melalui sesebuah karya, seperti ‘1515’ dan Bagaimana Anyss Naik ke Langit? – dan kini, Profesor – menjadikan ia sebuah karya yang perlu diteliti dengan saksama bagi pembaca yang biasa-biasa.

Makna kata, jika mahu berhujah karya-karya Faisal Tehrani, harus jelas mana satu fakta dan mana satu fiksi.

Melalui Profesor, fakta dan fiksi dianyam menggunakan bebenang dialog dan dokumen serta pendirian berbeda melalui watak perwatakan seperti Dr. Ali Taqi, Dalila, Suzila, Hashimah, kenangan bersama Wan Ros, tindakan Ustaz Idrus dan warga bergelar ustaz (lebih tepat, pseudo-ustaz). Semuanya teranyam rapi menjadi antara ‘bahan awal’ untuk memahami pengalaman dan perbahasan dalam ruang lingkup Hak Asasi Manusia di Malaysia (kemungkinan besar ya. Kerana ada nama  tempat: Bangi) atau singkatannya – HAM.

Dalam beberapa bab yang bersimpang siur style-nya, diberikan hujah melalui isi dokuman UDHR, segala macam ‘covenant’ UN, makalah akademik, sedikit sejarah Moghul, sedikit sejarah Aceh, sedikit sejarah Alam Melayu dan peradaban yang lain – semuanya disusun untuk memberi justifikasi tentang Hak Asasi manusia melalui pengalaman peradaban Islam dan dunia Nusantara.

Profesor adalah karya yang harus dibaca oleh semua orang yang mahu memahami isu HAM seperti yang diperjuangkan oleh mereka melalui watak Dalila, Suzila, Dr. Ali Taqi, dan Hashimah.

Usah ketepikan novel ini. Usah perlecehkan novel ini.

Seperti kata Faisal sendiri, melalui Surat Cinta (beliau) kepada Kazuo Ishiguro, ‘The Love Letter to Kazuo Ishiguro di themalaysianinsight.com, pada 26 Disember 2017 lalu; beliau mengkategorikan karya ini sebagai genre ‘creative non-fiction’. Genre ini, menurut beliau, menjadi kesukaran kepada kedai-kedai buku untuk meletakkan genre ini di rak kategori bagaimana.

Saya membaca karya ini dengan pandangan alam tertentu. Jadi pembacaan saya disertai dengan pelbagai persoalan tambahan dan kritikan kepada idea-pemikiran dan watak perwatakan serta isu-isu yang dibangkitkan.

Sebagai contoh, Suliza yang mengamalkan seks bebas dalam kehidupannya, Ustaz Idrus yang ganas dan tidak berperikamusiaan. Kedua-dua watak itu, sebagai contoh, adalah watak ekstrem yang tidak berlaku adil kepada Kebenaran serta langsung tidak mencerminkan hidup sebagai seorang Muslim yang benar.

Oleh itu, tidak keterlaluan saya katakan bahawa novel ini memang harus dinilai dengan saksama. Kewujudan insan seperti Suliza boleh jadi benar dan wujud, tetapi bukan suatu justifikasi untuk dijadikan sebagai ikutan atau norma kepada masyarakat.

Malahan, dalam banyak keadaan, karya ini sebenarnya ‘agak mengganggu’ rasa hati.

Ia suatu novel tragis yang berusaha menyampaikan mesej kekejaman ke atas golongan yang sebenarnya memerlukan perhatian semua pihak – selain aspek hukuman sebagai haram, ahli neraka, Nabi tidak mengaku umat, dan pelbagai lagi cacian nista.

Lantas, bagaimana mahu menanggapi novel sekompleks ini? Maka, saya nukilkan ungkapan keris Mas di Berita Harian, 17 Mei 1960, sebagaimana diambil oleh Almarhum Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad dalam karyanya berjudul Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan, terbitan DBP, 1991:

“Pembaca-pembaca harus mendapat kesempatan mempunyai anggapannya sendiri terhadap motif dari fikiran penulis itu, sama ada ia bersetuju atau tidak, tidak menjadi soal. Yang menjadi perhitungan ialah mendapat kesempatan mengetahui tujuan penulis.”

Sila miliki secepat mungkin kerana ia hanya dicetak sebanyak 1500 unit sahaja!

Selamat membaca!

Saya berikan 4.5/5.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s