Ulasan Cerpen: Jalur-Jalur Mobius

dewan-sastera-november-2017

“Selagi kita duduk di dalam perangkap ‘kepastian’, selama itulah kita tertipu bahawa kita boleh kembali ke titik asal. Padahal, titik yang kita kembali itu bukanlah titik yang sama  dan kalau pun itu titik yang serupa, kita bukan lagi diri kita yang dahulu.”

Jika ditanya kepada saya, apakah mesej penting cerpen Nisah Haron yang disemat dalam Dewan Sastera Bil. 11/2017 ini? Maka, frasa di atas adalah maksud yang mahu disampaikan oleh pengarang kepada pembaca – setidak-tidaknya kepada saya.

Cerpen ini saya ketahui dari status facebook pengarang, yang mengiklankan DS edisi Bil. 11/2017. Lalu saya dapatkan di Pustaka Mukmin, sekitar Masjid Jamek.

Saya tidak malu untuk akui bahawa saya perlu membaca tiga kali untuk memahami keseluruhan cerpen ‘Jalur-Jalur Mobius’ ini. Betapa lambatnya saya hendak faham! (tersengeh…)

Cerpen ini tentang kasih suami dan isteri; Humeira-Amir, Beren-Luthien, J. R. R. Tolkien-Edith, Arthur Tolkien-Mabel.

Cerpen ini juga tentang kasih ibu kepada si anak: Humeira dan Kirril.

Cerpen ini tentang kasih insan kepada kerjaya sehingga perlu berjauhan dengan keluarga: Humeira yang terpaksa tinggalkan keluarga untuk bertugas di Iowa, begitu juga Amir, suaminya, terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana bertugas di oriental Institute.

Keterpaksaan hidup berjauhan ini didasari rasa tanggungjawab. Seperti kata Humeira sewaktu detik-detik akhir sebelum berangkat ke Amerika Syarikat: “Kita semua ada perjuangan, Abang Amir.”

Cerpen ini tentang si anak: yang memahami si ibu yang terpaksa berjauhan. Kirril dibesarkan dengan baik oleh neneknya hingga berjaya bergelar graduan Oxford.

Demi cinta juga, Humeira membuat keputusan berat meninggalkan Amerika Syarikat untuk menghadiri majlis konvokesyen Kirril di Oxford. Keputusan itu bukan suatu yang mudah memandangkan situasi politik semasa yang kurang stabil, dengan sentimen nasionalisme di sebahagian dunia Barat sehingga memunculkan Brexit di United Kingdom dan dasar-dasar dalam negara yang menjengkelkan oleh Donald Trump di Amerika Syarikat.

Khalique? Seorang rakan sekerja Humeira. Khalique mempamer rasa bimbang akan kehilangan Humeira. Beliau sudah terpaut hati pada Humeira. Sifat ambil berat dan bersungguh-sungguh mahu Humeira fikirkan sebelum membuat keputusan untuk ke United Kingdom menjadi buktinya.

Seperti biasa, Nisah berjaya membentuk karakter yang kuat kepada watak utama yang diwujudkan dalam setiap karya beliau. Humeira seorang balu yang cekal dan mampu membuat keputusan penting secara bersendirian. Dia tahu saat-saat penting yang tidak boleh dilepaskan – menghadiri majlis konvokesyen anak tunggalnya.

Humeira adalah simbol kekuatan ibu tunggal. Sebagai ibu tunggal, terlampau banyak pertimbangan untuk menghadapi masa depan. Boleh jadi, sebab itu, ibu tunggal pada hari ini, dilihat bersifat memilih seandainya mahu membuat keputusan mencari pengganti suami. Ia bukan suatu keputusan yang mudah. Lebih rela bersusah mencari rezeki untuk anak-anak tanpa suami pengganti, daripada menerima pengganti yang tidak dipercayai akan membawa bahagia atau lebih mengusutkan lagi fikiran dan kehidupan.

Percubaan Khalique untuk mempengaruhinya gagal.

Humeira menuju ke Oxford dan kemudian ke Sarajevo. Di perenggan-perenggan akhir, barulah saya memahami bahawa selain faktor Kirril, Humeira juga mahu menjejaki tempat arwah suaminya terkorban – dalam peeprangan 1992. Humeira, seolah-olah bertemu kekasih hatinya seperti pada kali pertama dahulu. Tetapi, seperti kata pengarang: “ Ini satu daripada titik pertemuan pada jalur Mobius hidupnya.”

Tempat yang sama tapi sudah berlainan ketika dan keadaan.

Cerpen ini memberi kesan emosi kepada saya, terutama apabila pengarang menukilkan: “Tentu ada sebba Kirril kehilangan ayahnya sewaktu masih bayi, walaupun kehilangan itu suatu ketetapan juga.”

Mengapa? Kerana saya pernah merasai kehilangan ibu sewaktu kecil. Kehilangan itu mengubah keseluruhan kehidupan keluarga kami sekeluarga. Kehilangan yang mengajar erti redha dan perlu bangkit. Kehilangan yang mendidik hati bapa saya untuk sabar dan tabah. Boleh jadi, kenangan-kenangan manis, sepertimana yang dirasai Humeira, turut dirasai oleh bapa saya. Sebagai anak yang kecil, saya tidak dapat memahami duka lara seseorang yang kehilangan pasangan hidupnya – bapa saya yang kehilangan ibu saya.

Berbekalkan sabar, beliau dapat membesarkan kami dan melihat cucu membesar.

Baik kehilangan suami atau isteri, ia bukan suatu yang mudah.

Jalur-jalur Mobius, memberi harapan itu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s