Ulasan: Menulis Mengatur Diri Berfikir

35004848

Judul Buku: Menulis Mengatur Diri Berfikir

Penulis: Nisah Haron

Penerbit: DBP, April 2017

Bil. Muka Surat: 248 muka surat

ISBN: 139789834908553

Pengulas: Aliff Basri

 

 

 

‘Karya sastera itu terbentuk hasil gabungan tiga perkara penting iaitu manusia, peristiwa, dan pemikiran’

Andai boleh disimpulkan secara ringkas perihal karya Nisah Haron berjudul ‘Menulis Mengatur Diri Berfikir” (DBP, 2017) ini, ayat di atas yang diletakkan sebagai ayat pertama dalam Prakata karya ini boleh dianggap sebagai tema utama bagi 20 buah artikel yang disusun di dalamnya.

Muka hadapan yang dihiasi susunan aksara seperti yang terdapat pada sejenis permainan yang sohor kini untuk menguji perbendaharaan kata si pemain serta berlatar belakangkan warna merah, menjadi simbolik kepada mesej bahawa: ‘Mengarang sebagai satu kata kerja yang harus diawali dengan kerja berfikir dan menyusun perkataan demi perkataan, perenggan demi perenggan, menjadi tulisan yang bermakna dan boleh difahami oleh pembaca.

Karya yang mempunyai 248 halaman termasuk Prakata dan Indeks ini dianggap unik dan dipilih sebagai karya untuk diulas kerana terkandung elemen-elemen sejarah dunia sastera dan industri buku Malaysia yang penting untuk ditelusuri.

Karya ini mengandungi 20 bab. Walau bagaimanapun, dalam ulasan ini, secara umumnya saya mengkategorikan ia kepada 3 isi penting. Pertama, aspek eknomi perbukuan. Kedua, aspek polemik dalam dunia sastera dan ketiga ialah genre baharu yang perlu dikembangkan dalam dunia penulisan di Malaysia. Ketiga-tiga keunikan ini akan dihuraikan serba ringkas dalam perenggan-perenggan berikutnya.

Aspek Ekonomi Perbukuan

Bab 2 yang membincangkan penglibatan wanita dalam dunia sastera adalah suatu yang menarik. Pengarang memaparkan data jumlah pengarang wanita dan para penerbit yang telibat mengabsahkan lagi bahawa penglibatan wanita dalam dunia kepengarangan memberi kesan yang signifiken dalam industri perbukuan Malaysia.

Selain bab cabaran yang perlu dihadapi oleh pengarang wanita (halaman 17), Nisah turut membangkitkan persoalan kualiti lawan kuantiti (halaman 14), sama ada para pengarang wanita ‘mahu terus berlegar-legar dalam ruang lingkup yangs serupa, ataupun meletakkan diri standing nama-nama besar seperti Nadine Gordimer, Toni Morisson ataupun Wislawa Szymboiska, yang masing-masing emrupakan penerima hadiah Nobel pada 1991, 1993, dan 1996. (halaman 18).

Dalam bab 6, Nisah membincangkan persoalan perkembangan genre fiksyen sains yang belum mendapat perhatian pembaca dan banyak penerbit pada era 1980-an. Namun semakin mendapat tempat dihati pembaca pada ketika itu (2007). Dalam bab tersebut, Nisah menyebutkan beberapa nama yang sudah menulis genre fiksyen sains sejak tahun 80-an lagi seperti Ahmad Patria Abdullah.

Bahkan, Nisah sendiri merupakan seorang penulis genre fiksyen sains pada awal penglibatan beliau dalam dunia penulisan. Bab ini membuatkan saya terfikir, di amnakah tahap genre fiksyen sains pada ketika ini? Yakni setelah 10 tahun topik ini dibicarakan. Pertambahan para penerbit generasi baharu seperti Penerbit X, harus dilihat sebagai perkembangan dalam penerimaan genre fiksyen sains hari ini. Malah Penerbit UTM juga menerbitkan karya fiksyen Sains seperti Leksikon Ledang oleh Fadli al-Akiti dan Nor Azida Ishak.

Persoalan promosi karya-karya sastera turut dibincangkan dalam karya ini (halaman 112). Isu pelabelan karya sama ada karya popular atau karya sastera, kesanggupan beberapa penerbit pada ketika itu untuk menerbitkan karya-karya sastera, peranan kedai buku untuk berkomunikasi dengan calon pembeli karya-karya sastera, medium penjualan bersifat baharu seperti jualan atas talian, merupakan mauduk perbincangan dalam bab 11.

Nisah turut mengkritik penghasilan karya-karya agung terbitan Yayasan Karyawan yang dirasakan ‘tidak mesra pembeli kerana ia ‘dijual dengan harga beratus-ratus ringgit’ (halaman 123). Suatu yang menarik untuk diambil perhatian keranan menurut Nisah, karya-karya klasik di luar negara dijual dengan harga yang murah.

Walaupun Nisah mengakui keperluan Karya Agung ‘wajar diberikan dalam bentuk yang istimewa’ (halaman 123), namun menurut beliau, ‘peluang juga harus diberikan kepada mereka yang ingin memilikinya dengan harga yang lebih selesa kepada poket’ (halaman 123).

Sebenarnya, karya-karya boleh dipromosikan dengan kaedah yang lebih menarik dan kreatif. Antaranya ialah dengan penerbitan menerbitkan filem atau drama bersiri berdasarkan sesebuah karya sastera sebagaimana karya SN Shahnon Ahmad berjudul Srengenge (terbitan DBP), juga seperti Tombiruo (Alaf 21). Jika mahu pergi lebih jauh, karya yang sama boleh diusahakan untuk menjadi sebuah permainan video atau dipanggil ‘gamification’. Watak-perwatakan ‘dihidupkan’ menjadi karakter yang dapat diingati oleh pembaca melalui pementasan teater dan ‘merchandising’.

Selain daripada peranan penerbit dan para penggiat sastera, ‘senario politik di Malaysia juga turut merancakkan lagi industri buku secara tidak langsung’ (halaman 164). Sebagai contoh, menurut Nisah, apabila isu novel Interlok, karya SN Abdullah Hussain sedang menjadi isu hangat di Malaysia, novel tersebut ‘habis di gudang Dewan Bahsa dan Pustaka’ (halaman 164).

SN A. Samad Said dengan kontroversi beliau yang aktif dalam isu-isu politik juga, menjadi modal untuk mempromosi dan menaikan jualan karya-karya beliau di pasaran.

Dalam erti kata yang lain, suasana politik turut mempengaruhi jualan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sesebuah karya.

Isu yang tidak disentuh akan tetapi penting untuk difahami oleh para penulis ialah mengenai isu pengharaman buku. Pasti kita semua mahu lihat sama ada ia mampu berperanan merancakkan jualan buku atau tidak, kerana pengharaman itu nanti, akan turut menyentuh ‘pasaran gelap’ industri perbukuan Malaysia. Aspek pengharaman itu pula, harus menyentuh peranan agensi seperti Kementerian Dalam Negeri yang berperanan untuk mengharamkan sesebuah karya yang diterbitkan mengikut garis panduan berdasarkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Aspek Polemik Dalam Dunia Sastera

Di dalam beberapa bab, Nisah menyentuh polemik sastera yang timbul pada ketika itu Sastera Pelbagai Kaum (SPK) dan juga mengenai tanggapan pengarang luar sastera yang kelihatan lebih menonjol berbanding para palajar aliran swasta.

Persoalan bahawa para pelajar sastera yang terperangkap dan hanyut bersama teori-teori sastera sehingga ia mengekang kebebasan untuk lebih kreatif. Kata pengarang, ‘rasa bimbang dan sikap terlalu berhati-hati di universiti tidak menjadi tempat lahir ramai bakat kreatif!’ (halaman 186)

Genre Baharu yang Perlu Dikembangkan

Keunikan ketiga yang boleh dikongsikan ialah apabila pengarang (Nisah) telah memberikan ‘teaser’ tentang keperluan para pengarang tanah air untuk melihat perspektif baharu bagi sesuatu tema. Sebagai contoh, dunia masakan. Nisah membincangkan secara panjang lebar mengenai tema dunia masakan sebagai sebuah tema yang besar dan masih belum diterokai sangat oleh penulis, dalam bab 20.

Kepelbagaian perspektif atau sudut pandang dalam sesebuah tema atau mempunyai kepakaran mengenainya merupakan suatu kebijaksanaan tempat yang mesti dipelihatkan kepada YBMenteri.

Secara keseluruhannya, keunikan yang ada pada setiap bab ini merupakan keunikan yang tidak baku. Sejak 7 hingga 10 tahun selepas artikel-artikel ini ditulis, isi kandungannya wajar dibaca dan disemak. Ia bertujuan untuk melihat sama ada isu yang dibicarakan masih kekal releven untuk dilaksanakan, atau memadai sekadar menjadi artikel yang tersimpan dalam helaian-helaian buku.

Karya beliau ini amat sesuai untuk para pembaca,penggiat industri buku yang lain dan pembuat dasar supaya mereka tahu letak-duduk dan sejarah perbukuan di Malaysia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s